A bit of good info I've found for those who want to know about tasawuf. 


 

KENAL DIRI MAKA.... ???


Pengenalan

Artikel ini adalah sebagai panduan kepada mereka yang tertanya-tanya dan yang melalui jalan ke-sufi-an agar tahu dan dapat menilai dimana kedudukan masing-masing pada 'arena' yang Saya tahu. Dari situ adalah diharap masing-masing akan mengusahakan diri untuk meningkat kepada yang lebih baik.

Tidak dapat dinafikan bahawa jalan ke penghujung itu sama banyaknya dengan orang yang menuju ke sana. Akan tetapi penghujungnya tetap satu. 

Justeru, tidak hairanlah mengapa penjelasan dan penerangan seorang sufi itu agak berbeza diantara satu sama lain, begitu juga istilah yang digunakan, serta kaedah dan cara untuk kesana. Adakalanya istilahnya sama, tetapi definasi, maksud dan pengunaan istilah itu adalah berbeza , seperti dua istilah berlainan bagi satu perkara yang sama, ataupun dua perkara yang berbeza, mengunakan istilah yang sama oleh pihak yang berlainan. Justeru, ada baiknya kita tidak menidakkan pengalaman dan pegetahuan orang lain berbanding dengan kita sendiri. Mustahil penghujung itu berbeza, melainkan pengembara itu sampai ke 'tempat' yang silap. 

Yang ketara, bukan kebanyakan ahli-ahli sufi ini tidak betul ataupun tersalah jalan, cuma kebanyakkannya belum sampai, tetapi menyangkakan diri telah pun sampai. 

Awal-awal Ugama Mengenal Allah. 

Pecahannya ke arah mengenal Allah itu umumnya melalui empat aspek iaitu Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat. Perumpamaannya ialah kita dididik, diajar dan kemudiannya di aturkan untuk majlis mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong. Justeru adat istiadat istana, adab pelakuan, tertib dan tatasusila dipupuk kepada kita untuk berupaya dan layak mengadap baginda Tuanku.

Penghulu kampong kita yang mendidik setelah sekian lama, akhirnya mengakui yang kita ini sudah layak. Maka kitapun berkata yang kita layak sudah. Ini adalah berdasarkan pengalaman beliau yang saban hari berulang ke istana. Ada orang yang mempercayai kita dan ada pula yang menyangkal, wallahu a'lam. 

Rata-rata yang kenal baginda Tuanku adalah kenal melalui cerita penghulu kita tentang bagaimana rupa baginda. Begitu juga tentang lagak dan gayanya dan berbagai-bagai ragam 'orang-orang istana' di samping betapa cantiknya perkarangan istana. Pun begitu harus diingat bahawa bukan penghulu kampong kita saja yang pernah memijak kaki ke istana. Justeru bagaimanakah dapat kita ketahui bahawa kita telah pun berjumpa dengan baginda Tuanku, seandainya kita tidak mengenali langsung 'orang-orang istana' yang perlu dilalui dan akan menilai samada kita layak untuk mengadap atau boleh mengesahkan yang kita boleh mengadap baginda Tuanku? Benarkah yang kita jumpa atau kenal itu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong? 

Untuk makluman, perkataan duli adalah bahasa Sunskrit yang bermaksud 'habuk dibawah capal (sandal,sliper)'. Adakah mungkin yang kita berjumpa itu adalah 'habuk' aje dan bukannya baginda Tuanku? Nur Zat dan Nur Muhammad adalah Nur tetapi dua Nur yang berbeza. Nur tetap Nur dan bukannya Zat. Perumpamaannya Perdana Menteri memang besar kuasanya tetapi tetap bukan Yang Dipertuan Agong yang kita ingin jumpa. 

Sementara kita telahpun mempelajari adat istana, pernahkah kita mengamalkan adat istana sehingga mahir? Adakah amalan peradaban kita itu sama dan setara dengan 'orang-orang istana', sehingga layak mengadap dan dapat diterima seperti 'orang-orang istana' sendiri dan yang pentingnya oleh baginda Tuanku? Dan mungkinkah kita diterima sebagai golongan orang istana akhirnya?Wallahu a'lam. 

Penjelasan pada peringkat Awaludin: 

Rata-rata yang sampai ialah ilmu, bukannya diri. Maksudnya diri telah tahu. Persoalannya, adakah diri telah sedar? Setakat tahu, itu cuma ilmu. Paling tinggi ilmu seseorang itu boleh sampai ialah Phd dalam Tasawwuf, dan bergelar Doktor Falsafah tetapi tidak membayangkan bahawa orang itu telah sampai ke hadrat Tuhannya. 

Laluan mendekat dan didekatkan pada Tuhan ialah fana dan baqa. Sebelum kedua-dua makam ini, dia terlebih dahulu mesti mempersiapkan diri dan melengkapkan diri agar dapat diterima memasuki ke 'perkarangan istana' dahulu dengan apa yang di istilahkan sebagai dzuk. Ini adalah pengalaman sedar diri yang Saya tahu. Perlu diingatkan, dibenarkan masuk tidak bermakna bahawa dia adalah 'orang-orang istana'. Riadhah kesufian pertamanya ialah untuk meLENGKAPkan diri yang selama ini, mungkin sejak lahir, telah cenderung terhadap keduniaan. Justeru, lahiriah telah meninggalkan rohaniah kebelakang. Melalui riadhah ini, rohaniah akan dapat sampai kembali kepada lahiriah, sehingga pada suatu hari, kedua-duanya akan bertemu kembali, ibarat dua saudara kembar yang telah sekian lama terpisah. Maka apa akan terjadi? Pertemuan ini adalah suatu peristiwa yang amat istimewa yang di istilahkan sebagai dzuk. Ia menyatukan dan melengkapkan diri untuk berupaya melangkah ke makam dan hal-ehwal fana dan baqa. 

Tanda-tanda pengalaman dzuk:


Saban malam melakukan 'istiadat istana', tiba-tiba diri merasa hiba, sedih dan sayu, langsung menanggis tanpa henti atau boleh dihentikan. 
Akal fikiran merasa hairan dan tidak dapat mengawal kenapa diri boleh jadi begini, seakan-akan ada dua dalam diri yang satu. 
Menangis berterusan semasa melakukan 'istiadat istana' seterusnya. 
Mudah hiba, sayu dan menangis, melampaui di luar 'perlakuan istiadat istana.' iaitu pada perlakuan dan kelaziman seharian: ini makam sementara 1-3 diatas adalah hal. 
Begitulah seseorang Murshid itu akan dapat mengetahui bahawa muridnya telah melalui maqam dzuk. Jika tidak, dia akan tetap sabar menanti dan memerhati ... Pada masa yang sama dia akan terus meluahkan ilmu. Adapun berilmu itu lebih baik dari tidak berilmu. 

Perkara seperti ini jarang dihebahkan kepada murid kerana ini adalah pedoman Murshid untuk membimbing muridnya, dan bukan ilmu untuk murid. Tidak mustahil juga ada murid yang akan memalsukan maklumat dan pengalaman kerana jika tahu tanda-tanda ini. Adakalanya seorang guru itu mungkin tidak fasih dengan perkara ini kerana, walaupun guru, ada kemungkinan dia bukannya 'murshid', lantas sendiri belum merasa hal-ehwal yang dimaksudkan. wallahu a'lam. 

Tanda-tanda mengalami fana: 

Tanda-tanda makam dzuk lenyap. 
Semasa melakukan 'istiadat istana,' diri akan tersentak seperti terkejut dari mengantuk. 
Jangkamasa sentakkan dari mengantuk itu bagaikan sesaat sahaja, tetapi pada lahiriahnya, murid telah hilang di antara limabelas minit hingga ke tiga jam waktu sebenar. Apa yang berlaku dalam masa yang hilang itu tidak diketahui langsung hal-ehwalnya. 
Diri 'tersentak' masuk dan keluar dari fana melampaui di luar 'perlakuan istiadat istana.': ini makam sementara 1-3 diatas adalah hal. 
Kelebihan pada zaman yang serba moden ini, kita mempunyai tanda waktu/jam untuk mengukur. Ada baiknya mengambil perhatian terhadap tanda waktu memulakan ' istiadat istana.' Jadi apabila kita merasa sentakkan semasa melakukan amalan, kita dapat mengagak lebih kurang jangkamasa amalan kita berbanding dengan jangka waktu yang sebenar. Seandainya perbezaan 'rasa/agakkan' kita adalah jauh lebih singkat berbanding dengan sebenar, besar kemungkinan kita telah fana. 

Apabila seseorang murid itu telah hilang ciri-ciri dzuknya, biasanya seseorang Murshid itu akan memestikan 'suluk' kepada muridnya. Mengikut Al-Quran, 40 malam seperti yang diPerentahkan kepada Musa a.s. Melalui sunnah, 30 malam seperti yang dilakukan oleh Rasullullah s.a.w di gua Hira selama 7 tahun berturut-turut pada bulan Ramadhan. Mengikut sunnah 10 malam seperti yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w pada bulan-bulan Ramadhan di Madinah. Tujuannya ialah untuk mengelak perkara-perkara yang tidak diingini, menjaga kesucian ugama dan membendung gejala fitnah. 

Ini adalah kerana fana itu mempunyai 4 darjah/darjat: 

Fana fil af'al. 

Contoh; Al-Junaidi Al-Bhagdadi merayau-rayau di pasar Bhagdad dan memakan buah-buahan jualan dan diikuti oleh Sheikh Abdul Kadir Jailani, murid beliau.( Mungkin tolong bayar duit buah, agaknye) . 

Fana fil asma: 

Contoh: Laungan Mansur Al-Hallaj dengan kalimah, "Ana Al-Haq.". 

Fana fil sifat: 

Contoh: Riwayat oleh Al-Bukhari dimana Rasullullah berdiri dalam sembahyang baginda pada waktu sembahyang malam sehingga hampir sahabat yang memakmumkan baginda tidak mampu berdiri lagi. 

Fana fil dzat: "hilang tanpa kesan" 

Persiapan yang rapi ke arah dan sebelum sampai ke makam fana adalah penting dan perlu sangat dititikberakan dengan bersungguh-sungguh kerana ia akan mempengaruhi darjah/darjat yang akan dialami. Ia tidak mempengaruhi tinggi rendah kedudukan seseorang sufi itu, cuma kerenah yang akan diharungi adalah lebih berbagai, lebih rumit dan mungkin membawa padah yang tidak diingini, jika mencapai darjah yang lebih bawah. Ini adalah kerana salik tidak dapat hendak menentu maupun mengawal keadaan dirinya semasa fana. 

Disinilah makamnya yang akan menampakkan sifat-sifat sebenar salik dan didikan awalannya dalam kesufian pada aspek-aspek perlakuan dan adab yang terpuji yang cuba dipupuk disamping yang cuba disingkirkan oleh tasawwuf pada diri seseorang itu. Inilah yang dimaksudkan oleh Shaykh, Sidi Muhammed Sa'id Al Jamal, Imam dan Khatib, Masjidil Al Aqsa, Al Quds; "Tasawuf, dengan definasi, diambil daripada Safa'. Dengan kata lain, ia adalah gandingan dua perkataan, Tahliya dan Takhliya. Tahliya, bermaksud untuk mengambil setiap sifat-sifat peradaban yang baik, dan Takhliya, ialah untuk membuang setiap sifat-sifat peradaban yang buruk yang tidak diterima maupun disukai oleh Allah Tabaraka wa Ta'ala." 

Amatilah bahawa semasa fana fil af'al, pasar mungkin bukan tempat itu saja yang kita akan berjalan-jalan, sebaliknya tidak mustahil ke tempat yang amat keji di sisi masyarakat dan ugama. Ataupun sebaliknya tidak mustahil juga orang akan terpandang kita berada dimana-mana masjid. wallahu a'lam. Semua bergantung kepada didikan diri. Berbeza dengan hal yang jangka waktu fananya adalah lebih singkat, pada makam fana, fana juga boleh berlaku bukan saja semasa melakukan riadhah kesufian, tetapi juga semasa kita tidur, terutama pada tidur siang. 

Catitan: 

Sufi Book of World Record bagi makam fana: 

Ashabul Kahfi (390 tahun)-Makam fana fil sifat. 
Nabi Udzair a.s (100 tahun)-Makan fana fil dzat. 
Yang penting, melalui kelaziman mengamalkan 'istiadat istana,' salik mesti boleh mengesan samada dan bila dia fana dan sensitif terhadapnya. Cuma dia saja yang akan dapat mengesan samada dia fana atau tidak. Akan tetapi Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. 

Selepas melalui maqam fana, maka barulah seorang salik itu melalui maqam baqa. Seandainya sufi itu telah melalui hal dan makam di atas, tidak perlu dipersoalkan kedudukannya dalam melalui jalan ka Hadrat Ilahi. Biasanya orang yang sampai pada maqam ini telah pun faham dan masak dalam bidang Awaluddinnya. Justeru, biarlah tanda-tanda, ciri dan darjatnya dihadkan kepada mereka untuk memahami dan melaluinya. Dan tak perlu juga dihuraikan aspek-aspek seperti perbezaan antara uruj dan tanzih pada makam fana maupun baqa. Apabila diri asyik keistana saban hari, maka ia akan menjadi lumrah dan kebiasaan, maka akan fahamlah dia akan semua ini, disamping dapat mengaitkan pengalaman ini semua dengan pengalaman-pengalam orang lain terutamanya apa kelebihan dan istimewanya Rasullullah s.a.w. dalam isra' dan mikraj sekaligus berbanding dengan tanzih secara berasingan yang biasa dilalui oleh orang lain pada makam fana fil baqa. 

Seandainya seseorang itu masih belum pernah merasa apa yang dimaksudkan dengan sekurang-kurangnya salah satu daripada pengalaman di atas, maka apa yang dia ada adalah cuma berbagai-bagai kelulusan Phd. dalam Tasawuf, dan tidak lebih dari itu. Allah s.w.t Maha Mengetahui, justeru, apa perlu orang lain tahu? 

Pun begitu, semua ini adalah pengalaman, bukan kedudukan. Perlu diingatkan dibenarkan masuk tidak bermakna bahawa dia adalah 'orang-orang istana'. 

Seandainya sesesorang sufi itu telah mengalami pengalaman di atas, pada sisi Tuhan, dia adalah orang-orang yang layak menjadi 'orang-orang istana'. Pun bagitu, 'orang-orang istana' adalah lebih cerewet dalam memilih. Tiap-tiap calon mesti memenuhi berbagai-bagai kelayakan dan akan diuji dari masa kesemasa. Bagi orang-orang istana, syariat, tarikat, hakikat dan makrifat adalah matapelajaran sekolah bukannya university kerana bagi tiap-tiap awaluddin mesti ada akhiruddin-nya. Justeru, kalau dah mengenal eloklah meneruskan perjalanan. Awaluddin bukannya penghujung perjalanan. 

Penjelasan pada peringkat Akhirudin: 

Perumpamaan diantara awaluddin dengan akhiruddin bolehlah diibaratkan seperti seorang itu pada zaman persekolahannya. Peperiksaan STPM merupakan kelulusan yang paling tinggi murid boleh capai berbanding UPSR, PMR dan SPM. Seandainya dia memperolehi keputusan cemerlang, maka seluruh kampong akan berbangga dan memuji, maka tersebar khabarnya. Tanggapan orang kampong bahawa dia akan masuk ke Universiti dan akan mendapat kerjaya yang berjawatan tinggi kelak. 

Sebaliknya, murid yang berjaya ini merasakan amat kecil sekali pada hari pertamanya di Universiti apabila dia sedar betapa kecilnya dirinya berbanding dengan para Professor, pensyarah, 'student' tahun akhir dan 'senior'nya di kolej pada minggu orientasi. Dia sedar bahawa cabarannya baru bermula dan lebih getir lagi berbanding dengan alam persekolahan. Pada masa yang sama, dia sedang bersaing dengan yang terbaik yang layak masuk. Dia sebenarnya adalah cuma seorang Hero Kampong sahaja. 

Sementara orang kampong merasa bangga dengan kejayaannya memasuki Universiti, kedudukannya di Universiti adalah amat kerdil. Semasa di sekolah Fizik adalah cuma satu matapelajaran, dan dia cemerlang dalam bidang itu. Sebaliknya di University, Fizik adalah satu fakulti dengan matapelajaran yang tidak pernah didengarnya sebelum ini: thermodynamik, hydrolik, Quantum, mana fiziknya? Adapula fakulti yang tidak ada langsung matapelajarannya semasa disekolah dahulu, veterinary, urban and regional planning, actuarial science dsb. Akan tetapi adakah orang kampong tahu semua ini? Mustahil sekali untuk menjelaskannya kepada masyarakat kampong yang serba sederhana itu. Begitulah lebih-kurang perumpamaan. 

Begitu juga halnya pada akhirudin kelak untuk menjadi 'orang-orang istana'. Seperti yang dibentangkan pada Futh Al-Ghaib, karangan Sheikh Abdul Kadir Jailani, salah satu kedudukan pada 'orang-orang istana' ialah Abdal. Ini adalah agak tinggi. Yang paling rendah ialah Rijalul Ghaib. Itu nama jawatan, bukan semestinya orang itu ghaib. Kiranya, jawatan ini semacam tahun pertama, di University, gitu. Atas lagi adalah abdal, nujabah, nuqabah, autad, al-kubra, disamping pengkhususan-pengkhususan tertentu(subject major?) seperti al khawas, khawas al khawas, wal sakinah, sakinah wal sakinah dan sebagainya dan entah ape-ape lagi. 

Indikasi-indikasi terhadap akhiruddin ini banyak terdapat pada buku dan kitab-kitab kesufian seandainya pembacanya pandai menelah maksud disebalik cerita, bahasa kiasan dan isyarat yang umumnya digunakan oleh kaum sufi. Isyarat-isyarat ini seeloknya janganlah disamakan dengan awaludin, hendaknya..... tak akan kemana. Inilah perjalanan yang sebenarnya yang hendak dilalui dan diperkatakan pada buku dan kitab-kitab kesufian. 

Contoh kiasan dan isyarat: 

Sheikh Abdul Kadir Jailani menghantar seorang muridnya untuk bertemu Sheikh Abdul Rahman Kharki.

Sesampainya dihadapan Sheikh Abdul Rahman, beliau ditegur, "Siapakah gerangan kamu? Aku lihat engkau dengan dua ratus inayah di kiri dan kanan kamu dan seribu inayah di hadapan dan belakang kamu? 

Jawab murid itu," Aku dihantar oleh guruku, Sheikh Abdul Kadir Jailani untuk bertemu tuan." 

Berkata Sheikh Abdul Rahman, " Aku pernah mendengar nama itu, tetapi siapakah Sheikh Abdul Kadir Jailani? Kerana aku telah menghadap kehadrat Ilahi selama 40 tahun dan tidak sekali aku bertembung dengannya?" 

Jawab murid itu, "Aku disuruh menjawab: Engkau mengadap Ilahi melalui pintu yang tersendiri sementara dia mengadap Ilahi melalui pintu utama." 

Berkata Sheikh Abdul Rahman,"Apa buktinya?" 

Jawab murid itu, "Aku disuruh menjawab: Engkau digelar Kharki kerana tengkok engkau melebihi yang lain, akan tetapi dialah yang memakaikan engkau pakaian wilayat berwarna hijau yang bersulamkan Al-Ikhlas, dihadapan 12,000 para wali." 

Berkata Sheikh Abdul Rahman," Benarlah apa yang kamu perkatakan itu, sesungguhnya sekelian para wali mengadah tengkok mereka bagi beliau memijak." 

Penerangan: Murid itu dihantar dengan berbekalkan jawapan sebelum tahu soalannya. Murid itu diiringi oleh 2400 pengiring yang tidak nampak dek mata kasar. Iringan itu adalah untuk menunjukkan kelebihan orang yang menghantar itu berbanding dengan wakil yang datang. Seharusnya orang yang dikunjungi yang sepatutnya mengunjung orang yang menghantar. Sheikh Abdul Rahman bergelar Kharki kerana berupaya menelah ilmu ketuhanan melebihi yang lainnya. Beliau adalah Qutubul Rabbani yang dianugerahkan sebagai khadam Suratul Al-Ikhlas. Tiap-tiap makam wilayah akan melalui 'ujian' yang mana pada suatu makam itu cuma Sheikh Abdul Kadir Jailani saja setakat ini berjaya melepasi ujian tersebut. Semua para wali yang melalui makam berkenaan tidak ada seorangpun sehingga kini yang berjaya melepasinya. Wallahu a'lam. 

Contoh isyarat ujian pada salah satu makam yang akan dilalui pada Akhirudin iaitu Sempadan diantara kemakhlukan dan ketuhanan: 

azazil menyamar menjadi murid kepada Al-Junaidi Al-Bhagdadi selama 10 tahun 
azazil menyerupai awan dan memerintah Sheikh Abdul Kadir Jailani dengan menghalalkan yang haram. 
Rasullullah s.a.w berdialog dengan azazil 
Nabi Saleh a.s berdialog dengan azazil 
Nabi Ayub a.s tersiksa oleh dugaan azizil sehingga hilang segala harta dan keluarga. 
Nabi Ibrahim a.s diduga oleh Azazil semasa dalam perjalanan untuk menggorbankan anaknya. 
Semua ini adalah 'ujian' yang sama pada makam yang akan dilalui oleh semua yang memasuki Akhiruddin. Sebenarnya semua melalui ujian yang sama dan tidak terkecuali seorangpun, cuma yang tiada adalah kurang dokumentasi terhadapnya. Pun bagitu, bagi seorang sufi, beberapa isyarat sudah memadai sebagai persediaan. Laluan seorang sufi adalah laluan yang sama yang telah didahului oleh para nabi dan rasul, terutamanya baginda Al-Mustaffa (The Choosen One/Yang Terpilih) s.a.w. Dengan kata lain, dari sudut Tasawwuf mengikut sunnah adalah melalui seperti mana Rasullullah s.a.w melalui perjalanannya dan bukan setakat mengikut kata dan perlakuan baginda. Kita mengikut dan adalah pengikut kerana baginda telah dahulu dan mendahului kita. Justeru kaedahnya bagitu, mustahil boleh ada dan tidak akan ada seorang sufi yang mengaku dia nabi maupun rasul. Ini adalah kerana sufi mengikut sunnah dan mengikut yang dahulu mendahuluinya, bukan menyamai maupun melebihi sunnah. (Mungkin surah Al-Waaqiah boleh membantu menerangkan yang sudah terang ..... kerana tidak ramai yang melalui jalan ini, baik dahulu maupun sekarang.) 

Untuk makluman, 'ujian' yang dibentangkan di atas adalah pada 'ujian' suatu makam sebelum makam Makrifatullah. Justeru, seandainya seseorang sufi itu merasa dia telah sampai kepada makam Makrifatullah seperti 'orang-orang istana' melaluinya pasti dia telah melalui 'ujian' di atas. Seandainya seorang sufi itu tidak dapat melepasi makhluk laknatullah ini walaupun jauh lebih lama beribadah dan lebih fasih berkenaan ugama, adakah mungkin dia boleh sampai ke makrifatullah/mengenal Allah? Mustahil seorang itu boleh mengenal Allah jika dia tidak berupaya untuk mengenal makhluk! Mustahil seorang itu boleh mengenal Yang Mencipta jika dia tidak dapat mengenal yang di cipta. Ini adalah halangan yang amat getir dan musuh yang paling hebat yang perlu diketahui dan 'dihormati' kelebihan dan kelemahannya disamping mempersiapkan diri untuk berhadapan dengannya. Dengan persiapan yang rapi, justeru seseorang itu nampak seperti lebih mudah melalui ujian ini berbanding dengan yang lain, wallahu a'lam. 

Amatilah isyarat-isyarat di atas dan kaitkan dengan sepertinya isyarat pada amalan haji umpamanya, dan ketahuilah betapa pentingnya perjalanan ini dan sesungguhnya ini bukanlah omongan kosong, inshaAllah. Jika tidak ada pengalaman ini, Makrifatullah yang ada pada diri itu cumalah ilmu, dan bukan sedardiri pada makam Makrifatullah. Ada baiknya ditumpukan masa ke arah fana daripada terus menjadi orang yang tidak sedarkan diri. Seperti yang telah dibentangkan di atas, seandainya syariat itu matapelajaran, maka di dalam 'istana' ia adalah satu fakulti. Begitu juga dengan tarikat, hakikat dan makrifat. Makrifatullah 'orang-orang istana' tidak secetek matapelajaran makrifatullah 'sekolah menengah'. Awaluddin bukannya penghujung perjalanan. 

Jalan manakah yang paling selamat jika tidak melalui seperti mana Rasullullah s.a.w melalui perjalanannya? Jalan orang istana yang paling ulung. Kecapilah nikmat yang dikenali sebagai pedih, sedih, sakit, pahit, maung, susah dan berbagai lagi sebagai limpah untuk mensyukuri Ilahi, mashaAllah. Katahuilah rahsia disebalik semua ini sehingga boleh menerima dan SEDAR bahawa kita sebenarnya dikasihi dan bukannya dibebani. walhamdulillah. 

Justeru, agak menghairankan ada sufi yang melaungkan solatnya daem, tetapi tidak di setarakan dengan syahadah, puasa, zakat dan hajinya sekali? Mengapakah agaknya Sheikh Abdul Rahman Kharki memakan masa selama 40 tahun untuk menyedari kedudukannya dikalangan 'orang-orang istana' tetapi sebaliknya orang-orang sufi Malaysia ramai berlagak seakan-akan mereka memiliki lebih dari itu? Adakah mungkin itu cuma ilmu dan bukannya sedardiri? 

Seandainya seseorang sufi itu telahpun sampai ke tempat tujuannya, pasti dia adalah antara 'orang-orang istana' dan pasti dia boleh menjelaskan isyarat-isyarat berikut: 

"Berkata Sheikh Abdul Rahman," Benarlah apa yang kamu perkatakan itu, sesungguhnya sekelian para wali mengadah tengkok mereka bagi beliau memijak." 

"Berkata Al-Junaidi Al-Bhagdadi semasa Sheikh Abdul Kadir Jailani berjumpa beliau untuk menjadi murid, "Suatu hari nanti kamu akan berkata, "Sesungguhnya sekelian para-para wali mengadah tengkok mereka bagi engkau memijak." 

Maka apakah 'ujian' yang dilalui oleh semua mereka ini tanpa terkecuali sehingga semua membuat pengakuan yang sama, sebelum maupun selepas? 

Jika benar seorang sufi itu adalah di antara orang-orang istana' ini, pasti dia mempunyai jawapannya dan dia juga akan mengadah tengkoknya bagi Sheikh Abdul Kadir Jailan memijak. Di ingatkan sekali lagi bahawa semua ini adalah bahasa kiasan dan isyarat yang perlu dicari maksud disebalik cerita, wallahu a'lam. 

Seandainya seorang sufi itu sedar, maka dia juga akan sedia maklum, bahawa apa yang dibentangkan inipun bukannya lagi apa yang diperkatakan sebagai Akhiruddin. Lebih pasti Awaluddin Makrifatullah bukannya penghujung perjalanan. 

Hanya Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui. 

Penutup: 

Justeru itu saya ingin menganjurkan kepada semua golongan sufi agar usah membuang masa dan eloklah tidak bermain-main dihadapan pintumasuk perkarangan istana. Kerana perjalanan sebenarnya masih belum bermula. Sesungguhnya dalam perkarangan istana itu lebih luas dan lebih cantik daripada diluar sana. Jemputlah ke dalam dan nikmatilah sendiri. Ia bermula dengan fana. Itupun kalau sudi. 

Pun begitu, ini adalah cerita saya. Benarkah ceritanya begitu? Wallahu a'lam


--------------------------------------------------------------------------------


* Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini 

- LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH -




HAKIKAT DUA KALIMAH SYAHADAH

Ahli Makrifat itu tidak mempunyai makrifat jika ia tidak mengenal Allah dari segala sudut dan dari segala arah mana saja ia menghadap. Ahli Hakikat hanya ada satu arah iaitu ke arah Yang Hakiki itu sendiri. 

"Ke mana saja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah" (Al-Qur-an) 

"Ke mana saja kamu memandang", sama ada dengan deria atau akal atau khayalan, maka di situ ada Wajah Allah". Oleh itu dalam tiap-tiap ain [di mana] ada ain (Zat Ilahi) dan semuanya adalah "La ilaha illalLah" (Tiada Tuhan Melainkan Allah). 

Dalam "La ilaha illalLah" semua wujud ada terkandung, iaitu Wujud Semesta Raya dan Wujud secara khusus; atau Wujud atau apa yang dianggap Wujud; atau wujud Hakiki dan Wujud makhluk. 

Wujud makhluk tertakluk kepada kepada "La ilaha" yang bererti bahawa segala-galanya kecuali Allah adalah kosong(batil), iaitu dinafikan bukan diisbatkan. Wujud Hakiki termasuk dalam "illaLlah". Oleh itu semua kejahatan tertakluk di bawah "La ilaha" dan semua yang dipuji tertakluk di bawah "illaLlah". 

Semua wujud terkandung dalam mengisbatkan Keesaan (La ilaha illaLlah) dan anda mesti memasukkkannya juga dalam menamakan hamba yang paling mulia (dalam mengatakan Muhammadun RasuluLlah). 

"Muhammadun RasuluLlah" ini mengandungi tiga alam. 

Muhammad itu menunjukkan Alam Nyata(Alam Nasut); iaitu alam yang boleh dipandang dengan deria(senses). 
Rasul itu menunjukkan Alam Perintah(Alam Malakut); iaitu Alam batin berkenaan rahsia-rahsia tanggapan yang mujarad; dan ini terletak antara yang muhaddas dengan Yang Qadim. 
Nama Ilahi(Allah) itu menunjukkan Alam Pertuanan(Alam Jabarut). Lautan darinya terpancar pengertian dan tanggapan. 
"Rasul" itu sebenarnya pengantara yang muhaddas dengan Yang Qadim; kerana tanpa dia tidak akan ada wujud, kerana jika yang muhaddas bertemu dengan yang Qadim, maka binasalah yang muhaddas dan tinggallah Yang Qadim. 

Apabila Rasul diletakkan pada tempatnya yang wajar pada kedua itu, maka barulah alam ini diperintahkan, kerana pada zhohirnya ia adalah hanyalah seketul tanah liat, tetapi batinnya ia adalah khalifah Allah. 

Pendeknya, maksud mengisbatkan Tauhid itu tidaklah sempurna dan tidaklah meliputi tanpa diisbatkan Keesaan atau Tauhid Zat, Sifat dan Lakuan. Pengisbatan itu difahami dari "Muhammadun RasuluLlah". 

Apabila seorang ahli Makrifat berkata "La-ilaha illaLlah" maka ia ketahui pada hakikatnya bukan hanya pada majazi sahaja, iaitu tidak ada jalan lain melainkan Allah. Oleh itu wahai saudaraku, janganlah hanya mengucapkan dengan mulut saja syahadah yang mulia ini, kerana dengan itu mulut sajalah yang akan mendapat manfaatnya. Dan ini bukanlah matlamat yang hendak dituju. Yang pentingnya ialah Mengenal Allah sebagaimana Ia sebenarnya. 

"Allah itu dahulu seperti Ia sekarang jua tanpa sekutu, dan Ia sekarang seperti Ia dahulu jua". 

Fahamilah ini, dan anda tidak akan dibebankan lagi dengan penafian, dan tidak ada yang tinggal bagi anda lagi melainkan pengisbatan agar apabila anda berkata anda akan berkata; "Allah, Allah, Allah". Tetapi kini hati anda dibebankan dan pandangannya lemah. Semenjak anda dijadikan anda hanya berkata; La-ilaha........ tetapi bilakah penafian itu akan berkesan?. Bahkan ia tidak berkesan kerana penafian itu hanya dengan lidah sahaja. Jika anda nafikan dengan Akal iaitu dengan Hati anda dan rahsia anda yang paling dalam, maka seluruh alam ini akan lenyap dari pandangan anda dan anda akan lihat Allah sendiri, bukannya diri anda sendiri dan juga makhluk-makhluk lain. Kaum Sufi menafikan wujud yang lain kecuali Allah. Maka mereka mencapai kedamaian dan kerehatan dan terus memasuki KalamNya. Mereka tidak akan keluar lagi. Tetapi penafian anda tidak ada langsung hujungnya............ 

Ghirullah(selain Allah) tidak akan lenyap dengan hanya mengatakan "tidak" dengan lidah sahaja; dan belum sempurna juga lagi dengan mata keimanan dan keyakinan, tetapi akan lenyap dengan pandangan secara langsung dan berhadapan muka. 

"Sesungguhnya Allah itulah matlamat anda yang terakhir" (Al-Qur'an).

Dialah sumber segala-galanya. Maka anda tidak perlu lagi nafi dan tidak perlu isbat. Ini adalah kerana Yang Wajib itu telah memangnya isbat walaupun belum anda isbatkan, dan yang ghairullah itu sememangnya nafi walaupun sebelum anda nafikan. 

Tidakkah anda ingin menemui guru yang dapat mengajar anda bagaimana menafikan ghairullah dan membawa anda kepada kedamaian di mana anda dapati tidak ada yang lain kecuali Allah?. Maka barulah anda hidup dengan Allah dan dapat menjadi penghuni "Dalam tempat tinggal orang-orang yang ikhlas di Majlis Tuhan Yang Maha Agung", dan ini adalah semuanya hasil daripada ingat anda dan makrifat anda bahawa "Tiada Tuhan selain Allah". 

Anda tahu kata-kata Syahadah itu sahaja dan yang paling dalam yang anda tahu ialah berkata; "Tidak ada yang patut disembah melainkan Allah". Ini adalah pengetahuan orang-orang awam(biasa) tetapi apakah kaitannya dengan pengetahuan atau ilmu orang-orang Sufi?. 

Pengetahuan anda yang sekarang itulah yang menghalang anda memahami pengetahuan orang-orang pilihan(Sufi). Masihkan anda menafikan pengetahuan yang didapati dari bimbingan guru menuju Hakikat, padahal mereka yang dipimpin itu memandang tidak yang wujud kecuali Allah? Mereka bukan sahaja mengenal Allah dengan Iman dan keyakinan saja, tetapi mereka memandang dengan cara pandangan yang terus tanpa halangan. Omong kosong tidak sama dengan melihat, bertemu muka. 


--------------------------------------------------------------------------------


* Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini 

- LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH -